Wednesday, September 1, 2010

Tiga maut, tiga parah kemalangan motosikal





BESUT - Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) antara dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal yang terbunuh, manakala tiga lagi parah dalam dua kemalangan berasingan, semalam.

Kemalangan membabitkan motosikal itu berlaku di dua lokasi berbeza dalam tempoh kira-kira lapan jam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noor Zainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12. 15 pagi semalam, dua penunggang motosikal dipercayai memandu laju bersama kumpulan mereka, maut setelah bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan di Kilometer 4, Jalan Jertih-Kampung Raja dekat Kampung Alor Keli, Alor Lintah, di sini.

Menurutnya, kedua-dua penunggang yang maut di tempat kejadian adalah Mohd Zailani Mustafa, 19, penganggur dari Kampung Gong Tok Tor dekat Nyiur Tujuh dan Muhamad Saifullah Jusoh, 17, dari Kampung Seberang Kastam, Kampung Raja yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permaisuri Nur Zahirah.

“Penunggang sebuah lagi motosikal, Mohamad Khairul Azmi, 24, berasal dari Kampung Geliga, Kemaman dan pembonceng motosikal Mohd Zailani, iaitu Mohd Habibillah Hassan, 19, dari Kampung Pulau Melati, Tok Raja cedera parah,” katanya.

Noor Zainy berkata, dua mangsa yang parah telah dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga mereka.

Dalam kejadian berasingan, seorang wanita yang membonceng motosikal yang ditunggang adiknya untuk membeli juadah berbuka puasa, maut dilanggar sebuah kereta di Kampung Baharu dekat Kuala Besut, di sini kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Dalam kejadian langgar lari itu, Amira Dunia, 20, berasal dari Kampung Gong Manak, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Besut, manakala adiknya, Azizul, 17, cedera parah dan kini dirawat di HUSM.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails